Sunday, June 22, 2008

Pendekatan Siasah Syari’yyah di Malaysia

Oleh Ustaz Nasrudin bin Hassan at Tantawi

Pelbagai pihak kelihatan masih keliru dan curiga terhadap Pendekatan Siasah Syari’yyah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk dilaksanakan di Negara ini , khasnya di negeri – negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat . Lebih malang apabila ia ditempelak dan dibahas tanpa ilmu sebaliknya penuh curiga dan berniat tidak baik terhadapnya.

Saya melihat fenomena ini berurutan dari sindrom Islamphobia yang dialami oleh masyarakat hari ini dan biasnya turut dirasai oleh sebahagian muslim yang bersyahadah . Semakin hari ruang kecurigaan terhadap Islam dan perlaksanaannya semakin lebar , sementara para ulama yang diharapkan untuk mempertahankan kesucian Islam , sebahagiannya lebih memberi tumpuan terhadap isu – isu khilafiah atau persoalan tengek bengek yang sering menimbul ketegangan dan keresahan dikalangan ummah tanpa mendidik mereka dengan ilmu yang jelas dan mencukupi.

Terdapat jua sebahagian pemimpin ummat Islam yang hanya menumpu kepada strategi untuk mengekalkan survival politik mereka dengan tidak memberikan perhatian terhadap strategi bagaimana Islam dapat dipraktiskan malah dihayati secara benar dan jujur sehingga tersingkap segala kecurigaan mahupun salah faham terhadapnya.

Banyak pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan tercetusnya fenomena ini.

Pertama :

kepada golongan Islam agar tidak prejudis terhadap agama anutan sendiri . Jua tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah tanggap terhadap agama suci ini. Elakkan diri dari terjebak dalam kancah maksiat dan aktiviti yang tidak bermoral dengan membawa palit lumpur lalu mencemarkan kesucian Islam ini.
Pemegang urusan politik ummat Islam pula jangan dilihat hanya mementingkan karier politik mengatasi kecintaan terhadap agama. Membiar Islam dibelasah saban waktu asal cita – cita politik tercapai adalah sikap yang tidak wajar justeru politik ummat Islam tidak seharusnya gelincir dari landasan Islam itu sendiri.

Kedua :

Kepada golongan non muslim yang pastinya tidak memahami secara mendalam bagaimana Islam sebagai cara hidup mestilah terlebih dahulu mendapat pandangan atau maklumat jelas dari para ulama’ Islam sebelum membuat sebarang kenyataan atau dakwaan , apatah lagi berupa kritikan terhadap Islam.

Janganlah membuat kesimpulan mengenai Islam berasaskan apa yang dilihat oleh mata kasar lalu membuat nilaian secara melulu . Tentu sahaja perbincangan atau dialog mampu menenangkan keadaan sekaligus menceritakan betul duduknya yang sebenar.
Tindakan berasaskan dendam politik atau rasa curiga antara satu sama lain pastinya tidak membawa kepada kerukunan hidup bermasyarakat apatah lagi berbeza ideology dan anutan agama. Tiada masaalah yang tidak dapat dirungkai , sementelah pula masaalah itu adalah masaalah agama yang sememangnya agama mengajar penganutnya menjadi insan yang baik .

Nilai kebaikan itulah yang akan menjadi modal untuk membolehkan dialog , muzakarah atau perbincangan dilakukan dengan semangat inginkan kesejahteraan , kedamaian dan ketenteraman antara kaum dan agama dalam Negara ini .

Kerajaan Pakatan Rakyat

PRU 12 telah menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat meraih kemenangan dengan upaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri . Tentu sahaja kemenangan itu bermaksud rakyat memberi harapan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional setelah mereka tidak lagi mampu menanggung sengsara berada di bawah system pemerintahan dan pentadbiran Barisan Nasional yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Harapan mereka agar Kerajaan Pakatan Rakyat , biarpun parti mana yang dominan di negeri – negeri tersebut membawa sinar keadilan , ketelusan , kesaksamaan , ketenteraman dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.

Punah dan musnah harapan rakyat andai Pakatan Rakyat gagal membawa sinar baru kepada mereka malah kesal dan kecewalah mereka kerana memberi mandat dan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang hanya mengulang sejarah pincang Kerajaan Barisan Nasional .
Dalam erti dan nilai yang lain , mereka tidak mahu menumbangkan kerajaan Buaya dan menegakkan kerajaan Harimau , di mana mereka tetap menjadi mangsa .

Pendekatan Siasah Syari’yyah.

Dewan Pemuda PAS Pusat rasa terpanggil bagi memastikan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepincangan sebuah pemerintahan setelah mereka sekian lama menderita dan sengsara berada di bawah regim Barisan Nasional yang tidak sudah – sudah mengeksploitasi rakyat yang mereka pimpin.

Bertolak dari keinsafan ini , Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sayap penting kepada Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) yang pastinya pula Islam menjadi asas perjuangan , ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai dalam system pentadbiran dan pemerintahan Negara amnya dan negeri – negeri Pakatan Rakyat khasnya , agar keadilan , ketelusan , kesejahteraan dan keamanan benar – benar dapat ditegakkan dan rakyat terbela.

Itulah cita – cita murni Dewan Pemuda PAS Pusat dan saya percaya semua pihak bersetuju untuk mewujudkan keadilan , ketelusan , kesaksamaan , kesejahteraan dan keamanan dalam Negara ini walau apa pun anutan agama dan ideologi.

Justeru itu , inilah yang mahu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dikemukakan oleh al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru – baru ini.

Saya tidak Nampak ianya perlu dicurigakan apalagi menolak dan mentohmahnya dengan pelbagai tanggapan dan sinis yang tidak wajar terhadap cadangan tersebut . Selain daripada ianya masih diperingkat cadangan , Pendekatan Siasah Syari’yyah perlu diberi peluang untuk dibentang dan dikemukakan dahulu sebelum pihak – pihak tertentu mengkritik dan menghentam sehingga lajaknya sampai mempertikaikan kesucian agama Islam dan peribadi ulama’ – ulama’ Islam yang beramal dengannya.

Atas sifatnya sebagai satu cadangan , selayaknya ia dialu – alukan untuk disemak dan dinilai bahkan dibincang dan dibahas apakah ia boleh diterima atau tidak . Mana – mana negeri yang tidak mahu menerimanya , selain daripada mereka berhak menolak dengan baik tanpa perlu memperlekeh apalagi mempertikai Islam itu sendiri , mereka juga diberi peluang untuk membuktikan dimana kesalahan Pendekatan Siasah Syari’yyah sehingga ia wajar ditolak ?

Islam sendiri tidak pernah memaksa mana – mana pihak non muslim untuk menerima dan menganut Islam sebaliknya sering mengajak agar semua pihak berfikir dengan wajar dan rasional dalam menilai kebenaran. Islam juga mengajar agar kita menerima suatu yang bermanafaat dan menolak suatu yang mengundang mudharat .
Siasah Syari’yyah mempunyai prinsip umum dalam perlaksanaanya , dimana menurut perkiraan Dewan Pemuda PAS Pusat ia wajar dilaksana atau diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat .

Prinsip – prinsip umum yang saya maksudkan itu seperti :

As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع

Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج

Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة

Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح

As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع

Satu prinsip yang membentuk tindakan , peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut . Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.

Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج

Mengangkat , merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang , peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik.

Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة

Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dialksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal Kerajaan Yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat.

Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح

Menolak kerosakan atau kemusnahan terlebih afdhal daripada mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama . Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah . Sebagai contoh , menolak aktiviti – aktiviti tertentu yang menghela ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat.

Atau juga boleh difahami dengan tumpuan dan peruntukan yang dilabur untuk membenteras dan menghapuskan segala kerosakan , kemungkaran atau kejahatan itu terlebih baik dan wajar walaupun peruntukan dan pelaburan untuk aktiviti kebaikan yang lain menjadi kecil . Lantaran tindakan menghalang atau menghapuskan mungkar dan kerosakan merupakan satu kebaikan yang besar buat rakyat seluruhnya.

Jika ini prinsip dan kaedah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Siasah Syari’yyah , sila beritahu kepada saya , dimanakah salah dan silapnya sehingga ada pihak – pihak tertentu berasa curiga dan bimbang .
Lebih malang kalau ada dikalangan pemimpin muslim sendiri yang tidak mahu perkara ini dilontarkan kerana bimbang ianya merugikan politik Pakatan atau bimbang kalau – kalau ia tidak disenangi oleh non muslim.

Persoalannya sampai bila mereka mahu bersikap tidak jujur dalam perjuangan dan politiknya. Menyembunyikan Islam yang diperjuang kerana ingin membeli hati non muslim , inilah satu sikap berpura – pura yang sering mengundang kekeliruan dan rasa curiga dikalangan rakan – rakan non muslim terhadap Islam agama suci ini.
Kenapa tidak dijelaskan kepada mereka hasrat perjuangan dan risalahnya kepada non muslim melalui pendekatan Islam yang benar sebagaimana Nabi saw. tidak pernah menyembunyikan Islam untuk menawan hati non muslim . Sebaliknya Nabi saw berjaya menawan hati non muslim dengan memberikan penjelasan yang tepat mengenai Islam.

Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan bukan juga ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi , tuhan yang mencipta manusia . Berasaskan reality ini pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka . Sebagaimana Islam yang di dokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani . Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim.

Saya percaya non muslim akan cepat memahami dan menyedari malah menerima bahawa Islam adalah agama yang benar sekali pun enggan untuk menganut agama Islam , sementara Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa pun untuk menganut agamanya.

Thursday, June 19, 2008

Fiqh AwLaWiyyAt: Manakah yang lebih utama: " Kaya dengan syukur atau miskin dengan sabar"?


Tajuk yang rancak dibincangkan oleh ulamak kita terdahulu dan termasuk dalam perbincangan fiqh keutamaan: manakah yang lebih banyak ganjaran dan pahalanya di sisi Allah Ta'ala: orang yang kaya yang bersyukur atau orang miskin yan bersabar? terdapat pelbagai jawapan yang diajukan oleh beberapa kalangan di antara mereka. Ada yang mengambil pilihan pertama dan ada juga yang mendukung pilihan kedua.

Setelah Dr Yusuf al-Qaradhawi mengkaji kedua-dua pendapat yang berbeza tersebut berdasarkan hujah masing-masing, maka beliau dapat membuat satu kesimpulan bahawa: orang kaya yang bersyukur lebih baik dan utama daripada orang miskin yang bersabar. Hal ini kerana bersyukur kepada Allah dalam keadaan diri kaya raya adalah bukan suatu perbuatan yang mudah, seperti yang disangkakan oleh sesetengah orang, seperti firmanNya yang bermaksud:

"......dan sedikit dari para hamba-hamba-Ku yang bersyukur."
( Surah Saba':13)

Baginda Rasulullah s.a.w sentiasa memohon kekayaan kepada Allah s.w.t dan berlindung daripada kefakiran. Baginda berdoa yang bermaksud:

" Ya Allah.. aku memohon kepadaMu hidayah, ketaqwaan, kebersihan diri dan kekayaan.
(hadith riwayat al-Muslim, al-Tirmizi dan Ibn Majah drpd Abdullah ibn Mas'ud r.a : lihat Sahih al-Jami'as-Saghir hadith bil. 1275).

" Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada kefakiran, sedikit (harta), kehinaan dan aku berlindung kepadaMu daripada melakukan kezaliman ataupun dizalimi.
( Hadith riwayat Imam Abu Daud, an-Nasa'i, Ibn Majah dan al- Hakim daripada Abu Hurairah r.a ( Lihat Sahih al-Jami' as-Saghir hadith bil.1287).

Baginda Rasulullah s.a.w berkata kepada Sa'ad ibn Abu Waqas r.a : Wahai Sa'ad sesungguhnya Allah s.w.t meyukai seseorang hamba yang bertaqwa, kaya dan sunyi ( tidak riak).
(hadith riwayat Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Muslim drpd Sa'ad ibn Abu Waqas r.a, ibid bil. 1882)

Sesungguhnya apabila orang-orang kaya pandai bersyukur dan menggunakan hartanya di jalan Allah s.w.t, maka mereka akan mendapat ganjaran dan keutamaan di sisi Allah yang tidak didapati oleh orang-orang miskin. dan itulah kurnia Allah kepada mereka yang dikehendakiNya dari kalangan hamba-hambaNya.

Allah s.w.t di dalam al-Quran memuji para Rasul yang mulia dan menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang bersyukur di antaranya Nabi Muhammad s.a.w di mana baginda telah diberikan nikmat dan kurnia yang besar kepada penghulu segala Rasul. Firman Allah:

Maksudnya: "Dan Dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu Dia memberikan kecukupan." ( Surah al-Dhuha:8)

Kemudian Allah berfirman kepadanya:

Maksudnya: " Dan terhadap nikmat Rabbmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya ( dengan bersyukur). ( surah al-Dhuha: 11)

Demikianlah pandangan yang diberikan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya " fi Fiqh Awlawiyyat Dirasah Jadidah fi Dhau'i al-Quran wa as-Sunnah" terjemahan oleh: Ahmad Nuryadi Asmawi ( Fiqh Keutamaan: Satu kajian Baru dari perspektif al-Quran dan as-Sunnah)

Diharap dengan penjelasan Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini dapat memberi penjelasan kepada para pembaca di mana mungkin ramai yang tidak memahami konsep keutamaan dalam Islam dalam kita memilih sesuatu yang lebih utama dan seterusnya mendapat nilai yang mulia di sisi Allah.
Wallahu'alam bis sowab....

Persolan kerjasama antara Islam dan bukan Islam

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa Islam muncul dan berkembang dalam masyarakat pelbagai agama, sama ada pada zaman Makkah, mahupun selepas Hijrah, iaitu zaman Madinah.

Allah SWT memilih dahulu bahawa Islam muncul dan berkembang dan subur dimana-mana pelosok dunia, termasuk di dalam negara perbagai kaum dan agama.

Hal sedemikian, memberi kefahaman yang jelas, bahawa kerjasama dan saling bantu-membantu untuk mencapai kehidupan harmoni dalam soal kehidupan disesebuah negara, perlu diberi perhatian dan dihormati.

Harus dicari asas-asas untuk bekerjasama dan saling bantu-membantu.

Asas utama pada kefahaman ini berdasarkan kepada ayat Allah, menerusi firman-Nya (mahfumnya): “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al Maidah:2)

Firman Allah (mahfumnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah:8)

Ayat-ayat tersebut memberi ruang seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama dan bertolong-tolongan antara umat Islam sesama mereka khususnya dan juga yang bukan Islam, dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, serta ulama-ulama salaf.

Bertolong-tolongan dan bekerjasama dalam bidang politik untuk tujuan memerintah atau mendapat kuasa, antara golongan Islam dan bukan Islam, disebut dalam Islam sebagai tahaluf siasi.

Tahaluf adalah istilah politik Islam bermaksud berpakat atau bermuafakat untuk mencapai dan menjayakan kepentingan bersama dalam membina negara atau mendapatkan kuasa.

Istilah tahaluf atau hilf, wujud dalam Islam dan dalam beberapa Hadis.

Sebelum Islam lahir di Makkah, masyarakat jahiliyah telah pun membuat pakatan dan kerjasama diantara mereka yang dikenali sebagai Hilful Fudhul.

Nabi Muhammad s.a.w, ketika zaman kerasulannya menyaksikan permuafakatan tersebut.

Setelah Islam lahir dan berkembang, Rasulullah s.a.w mengingati semula permuafakatan itu dan menghargai dalam suatu hadis (mahfumnya): “Talhah bin Abdullah bin ‘Auf berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Saya telah menyaksikan berlakunya suatu kerjasama dalam bentuk pemuafakatan di kediaman Abdullah bin Jad’aan. Permuafakatan terbaik bagiku dan ia lebih bernilai daripada harta benda dunia. Sekiranya saya diminta berbuat demikian dalam era Islam ini, pasti saya menyetujuinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Ishak)

Dalam sejarah Hijaratul Rasul s.a.w, baginda telah meminta pertolongan atau bantuan dari seorang yang tidak Islam yang bernama Abdullah bin Uraiqit, sebagai pemandu dan penunjuk jalan kepadanya.

Mengapa Rasulullah s.a.w memilih orang kafir untuk membantu? Apakah tidak ada orang Islam atau malaikat atau wahyu yang memandunya?

Walaupun semua itu boleh, tetapi peristiwa ini mengandungi mesej yang amat jelas, iaitu dibolehkan berkerjasama, terutamanya jelas keperluan ini wujud.

Maka hal kerjasama seperti itu dibolehkan.

Setiba di Madinah, Rasulullah s.a.w menyedari, malah diperintah Allah SWT untuk mengadakan permuafakatan dengan yang bukan Islam dari golongan kuffar Madinah, sehingga termeterai suatu perjanjian (piagam) yang dikenali sebagai Saheefah Madinah yang terkenal sehingga ke hari ini.

Dalam Saheefah Madinah tersebut, diperuntukan jelas antara lainya, orang Yahudi menangung perbelanjaan hidup sendiri, demikian juga orang-orang Islam. Diantara mereka terdapat tanggungjawab untuk saling bantu-membantu menghadapi musuh bersama.

Mereka hendaklah saling nasihat menasihati dalam berbuat baik terhadap satu sama lain, tanpa melakukan kesalahan.

Disebabkan dalam Saheefah bahawa: “Tidak salah mana-mana orang yang tertakluk dalam piagam ini, bahawa mereka wajib tolong-menolong, bantu-membantu, khususnya bagi orang-orang yang teraniaya.”

Selain itu Rasulullah s.a.w pernah membuat perjanjian tolong-menolong dengan Bani Khuza’ah dan lain-lain.

Dengan alasan-alasan yang dipaparkan ini, sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah, jelas menunjukkan keharusan bermuafakat dengan orang-orang yang bukan Islam.

Namun demikian, ia bukan merupakan keharusan total atau dibolehkan secara mutlak. Keharusan ini, mistilah diikat dengan beberapa syarat, sesuai dengan situasi muafakat tersebut.

Apa yang penting, ia mistilah memastikan Islam berada dalam keadaan selamat, selesa dan terus berada dalam keadaan yang sejajar denga roh , firman Allah dalam al-Quran (mahfumnya), “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).. ” (Surah Ali 'Imraan:110)

Wallahua’lam.

Solat sah sahaja belum pasti dimakbul oleh Allah

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Seorang tokoh dikalangan orang yang khusyuk dalam solatnya, beliau ialah ‘Amir bin Abdullah barkata, “Apabila orang bertanya mengenai solat, adakah beliau merasai seperti orang, iaitu ingat hal ehwal dunia ketika beliau solat?”. Jawab ‘Amir bin Abdullah, “Bagiku mengingat perkara dunia dalam solat, aku lebih rela jika orang ambil pedang dan tikam aku hingga menghembus nafas terakhir.”

Ertinya, tidak sekali-kali beliau membenarkan perkara itu berlaku selain ingat Allah SWT, jika berlaku juga, beliau rela dirinya ditikam dengan pedang tajam.

Seorang lagi tokoh yang dibincangkan ialah Muslim bin Yasar. Ketika beliau mendirikan solat di masjid, tiba-tiba satu diantara tembok dinding runtuh, hingga menggemparkan penduduk kota tersebut.

Lalu orang ramai bergegas menuju ke masjid tersebut dalam keadaan gempar sambil bertanya, “Apakah yang sedang terjadi?”

Ketika itu, mereka mendapati Muslim bin Yasar sedang khusyuk mendirikan solat tanpa menyedari satu diantara tembok dinding telah runtuh sehingga menggemparkan penduduk kota tersebut.

Seorang individu yang tidak tidak dinyatakan namanya mengidap sejenis penyakit kronik dan perlu dibedah. Ketika tabib cuba melakukan pemedahan, ternyata orang itu meraung kesakitan sebaik sahaja matapisau tabib mencecah kulitnya. Ketika itu, rakan kepada pesakit itu membisikkan sesuatu kepada tabib, “Jika hendak membedahnya, lakukannya ketika beliau sedang solat.”. Ternyata bisikan rakanya itu benar, sedikit pun beliau tidak bergerak ketika tubuhnya dibedah. Beliau meneruskan sujud dalam solatnya yang khusyuk itu sehingga pemedahan selesai dilakukan dengan selamat.

Seorang lagi tokoh yang tidak dinyatakan namanya oleh Imam Ghazali dalam kitabnya, tokoh berkenaan berkata,”Sesungguhnya solat itu adalah pekerjaan akhirat, oleh itu apabila aku masuk ke dalam solat bererti aku keluar meninggalkan dunia dan menuju ke alam akhirat”. Ertinya, apabila mendirikan solat bererti beliau pergi ke alam akhirat dan tiada lagi berada di dunia. Jika berlaku sesuatu di sekitarnya, beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana pada hakikat diri dan jiwanya berada di akhirat. Orang seperti itu, solatnya benar-benar khusyuk, kerana dia sudah keluar dari alam dunia menuju alam akhirat.

Seorang lagi tokoh yang bernama Abu Darda’, beliau berkata,”Adapun orang yang cerdik itu ialah mereka yang dapat menyelesaikan semua hajatnya sebelum mendirikan solat, supaya apabila ia masik kedalam solat dengan hatinya yang lapang.”

Solat itu adalah suatu yang sangat penting, sebab itu segala perkara yang boleh menggangu solatnya diselesaikan sebelumnya, supaya tidak datang parkara-perkara yang boleh menggangu tumpunnya ketika sedang bersolat.

Sebab itu, sebahagian ulama berkata, sunat berwuduk lebih awal sebelum dari menunaikan solat sunat, ianya bertujuan untuk mengasuh hati supaya lupa sepenuhnya segala macam urusan yang bersepah dan menghasilkan solat yang didirikan sepenuhnya untuk urusan akhirat.

Ada sebahagian ulama mendirikan solat tidak mengambil masa yang lama, kerana hendak mendahului kedatangan was-was syaitan. Bacaan yang sederhana pendek bukan didorong oleh perasaan malas, tetapi untuk mengawal solatnya daripada ganguan was-was syaitan.

Diriwayatkan tentang seorang sahabat yang bernama ‘Ammar bin Yasir juga melaksakan solat denga masa yang sederhana ringkas. Lalu sahabat yang lain bertanya, “Mengapa anda solat dengan kadar yang ringkas?”. Lalu jawab ‘Ammar dalam bentuk pertanyaan pula, “Adakah kamu dapati kekurangan dan kecacatan dengan kadar yang ringkas itu? ”. aku solat dengan ringkas itu kerana hendak mendahului ganguan syaitan”. Jawabya ringkas.

Syaitan sentiasa megintai peluang untuk merompak ibadat ‘Ammar, tetapi sebelum syaitan syaitan dapat merosakkan ibadat solat ‘Ammar, beliau sedah mendahului ganguaan syaitan. Miskipun solat ‘Ammar kelihatan ringkas, tetapi kesemuanya adlah sempurna disisi Allah SWT.

Menurut ‘Ammar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “seseorang manusia mendirikan solat, tapi tidak memperolehinya walau seperdua, sepertiga, seperempat, seperlima, seperenam malah tidak sepersepuluh pun”.

Menurut ‘Ammar kerana teringat hadis tersebut, beliau rela solat dengan ringkas asalkan seratus peratus selamat seluruhnya daripada rompakan syaitan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Solat seseorang diterima Tuhan sekadar mana yang dia ingat (tidak lalai) dalam solatnya.”

Pendapat ‘Ammar iaitu pada solat panjang tetapi kosong dari hadir hati, lebih baik ringkas tetapi seluruhnya diteriman Allah SWT. Tetapi kalau yang panjang dimakbulkan Tuhan, itu lebih baik.

Saiyidina Umar pernah berucap di atas mimbar, “Ada orang yang sudah beruban di kepalanya (sudah tua), tetapi hendak cari sekali sahaja solat diterima Tuhan, sukar ditemui”

Lalu orang bertanya mengapa boleh jadi begitu. Jawab Umar, “Kerana dia tidak menyempurnakan khusyuk serta penumpuaan sepenuhnya kepada Allah SWT”

Untuk solat itu ada dua kedudukan, untuk dunia disebut “sah”, manakala untuk akhirat disebut “makbul”. Tetapi yang sah itu belum tentu dimakbulkan oleh Allah SWT.



Wednesday, June 18, 2008

ReSt SeAsoN??

Salam buat teman-teman di luar sana...

Apa yang sedang teman lakukan sekarang ye??
sedang menjalani program persatuan? atau sedang bersama keluarga tercinta? atau sedang duduk termenung memikirkan peluang pekerjaan bagi sahabat-sahabat yang akan bergelar graduan pada tahun ni? atau sedang menjalani kehidupan baru ( rumahtangga)?...
apa pun yang sahabat sedang lakukan moga-moga ia memberi manfaat pada sahabat, gunakanlah masa cuti panjang ni dengan perkara yang akan memberi hasil yang berguna pada kita semua. Jangan biarkan masa itu berlalu pergi meninggalkan kita dan selepas itu kita menyesali dan mahu masa itu diputar kembali..oh itu tidak mungkin sebab itu Allah sudah memberi peringatan kepada hambaNya dalam surah al-'asr 1-3:
yang bermaksud :" Demi masa..Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian..Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
Begitulah peringatan yang Allah sampaikan melalui kitabNya al-Quran agar manusia amnya dan umat Islam khasnya agar merancang waktu mereka dengan sebaiknya..saya juga mengingtkan diri saya sendiri dan sahabat agar sama-sama kita menggunakan masa cuti dengan perkara yang akan mendatangkan manfaat bukan sahaja pada diri kita tetapi juga manfaat pada orang lain insyaALLAH.

Bercakap pasal program masa cuti semester ni, saya pun tidaklah banyak merancang pelbagai aktiviti sebab sepanjang cuti ni saya menjalani latihan industri atau praktikal di INTENGAH ( Institut Tadbiran Awam Negara Wilayah Tengah) berdekatan dengan kampus UM. Sepanjang praktikal ni saya duduk bersama sahabat saya di seksyen 12 Petaling Jaya. Masa tinggal di rumah sewa ni baru la saya tahu macam mana rasa nya. Kami sama-sama merancang perbelanjaan dapur, memasak, mengemas rumah..huhu, berbeza memang berbeza dengan tinggal di kolej kediaman. Tapi apa yang penting bagi saya sepanjang praktikal ni banyak memberi saya pengalaman di tempat kerja, pengalaman menjalani kehidupan atas inisiatif sendiri..minggu depan minggu terakhir saya praktikal kat INTAN. Cepat betul masa berlalu..rasa sayang pula nak mengucapkan selamat tinggal kepada staf kat sini..diaorang memang baik dan ramah tamah ...tu yang membuatkan kami tak rasa terasing semasa buat praktikal kat sini.. ini la program sepanjang cuti semester saya...

Saya yakin tentu ada di kalangan sahabat yang melangsungkan majlis kenduri kahwin pada waktu cuti semester ni kan? seorang dari rakan sebilik saya dulu dah pun melangsungkan perkahwinannya bulan lepas..alhamdulillah semakin ramai di kalanngan siswa dan siswi yang membina masjid..tahniah buat sahabat yang baru atau sedang melayari kehidupan baru..semoga keredhaan Allah sentiasa bersama kalian. Saya pulak? erm, seru tak sampai lagi..he2..kalau nak ikut perancangan hidup saya, saya nak melayari bahtera rumahtangga selepas belajar..mungkin saya rasa lebih yakin dan tenang. Itu hanya perancangan saja..semua orang ada perancangan hidup masing-masing.. tapi yang perlu kita semua ingat kita merancang Allah juga merancang tapi Allah adalah sebaik-baik perancang...

ok, setakat ini sahaja coretan saya buat sahabat2...semoga kita semua sentiasa dalam pemeliharaan dan hidayahNya...

Tuesday, June 17, 2008

UnTuKmU mUSLimAH ...


ISLAM MENJAGA KEHORMATAN KAUM WANITA
Islam merupakan agama yang penuh kemuliaan dan ketinggian,ia sangat menjaga kehormatan pemeluknya.Seorang muslim mahupun muslimat dimuliakan dan ditinggikan martabat mereka dengan syariatNya.Itulah kenikmatan terbesar dari Allah,sekaligus pemuliaan dariNya.
Allah berfirman(yang bermaksud):
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam,Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.[al-Isra`[17]:70]
Syaikh Abdul Rahman as Sa`di r.h mengatakan: “ Inilah bentuk pemuliaan Allah terhadap manusia yang tiada bandingannya,di mana Dia memuliakan bani Adam dengan seluruh kesempurnaan,memuliakan mereka dengan ilmu dan akal,mengutus kepada mereka para rasul,menurunkan kitab-kitabNya, kemudian menjadikan mereka sebagai waliNya serta menganugerahi mereka dengan banyak kenikmatan,baik yang zahir mahupun batin.”[1]

Sebahagian Bentuk-bentuk Pemuliaan dan Penjagaan Islam Atas Wanita
1. Islam menyamakan kaum lelaki dengan kaum wanita dalam penciptaan.
Kaum lelaki dan wanita memiliki persamaan dalam penciptaan.Mereka dari seorang diri,sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia,bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri,dan daripadanya Allah menciptakan isterinya,dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.Dan bertaqwalah kepada Allah dengan(mempergunakan)namaNya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah)hubungan silaturrahim.Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.[an Nisa`[4]:1]

2. Islam menyamakan wanita dan lelaki dalam hal ibadah dan mu`amalah.
Wanita berkedudukan sama seperti kaum lelaki dalam hal meraih balasan kebaikan dari Allah dalam ibadah. Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh,baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman,maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. [an Nahl [16]:97]

3. Islam memberikan kebebasan dalam hal pemilikan seperti kaum lelaki.
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain.(kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,dan bagi wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. .[an Nisa`[4]:32]

4. Islam mewajibkan untuk memuliakan kedua orang tua dan berbuat baik terhadap kedua-duanya, tidak hanya kepada salah satu di antara keduanya saja.
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali jangan kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: ” Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya,sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”[al-Isra`[17]:23-24] 5.
Islam memuliakan wanita dengan memberikan perhatian lebih kepada kaum ibu melebihi kaum bapa.
Pernah seorang sahabat datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: “ Wahai Rasulullah,siapakah orang yang yang lebih berhak aku perlakukan dengan baik?”Beliau menjawab: “ Ibumu.”.”Kemudian siapa lagi?”.”Beliau menjawab:Ibumu.” ”Kemudian siapa lagi?”.”Beliau menjawab:Ibumu.” ”Kemudian siapa lagi?”.” Beliau menjawab:”Ayahmu.”[2]

6.Islam memuliakan wanita dengan memerintahkan mereka untuk tetap di rumah. Allah berfirman:
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu..[al Azab[33]:33 ]

7. Islam memuliakan wanita dengan mensyariatkan hijab.Allah memerintahkan kepada mereka berhijab untuk menjaga kemuliaan dan kehormatan mereka, serta melindungi mereka dari segala bentuk kejahatan dan kerosakan.
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu,anak- Anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman:”Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.”Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,kerana itu mereka tidak diganggu.Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [al Ahzab[33]:59]

8. Islam memuliakan wanita dengan mengharamkan khalwat dan safar tanpa mahram. Semua itu dalam rangka memuliakan dan menjaga kehormatan mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda: ” Janganlah sekali-kali kaum lelaki berkhalwat dengan wanita kecuali ia bersama mahramnya,dan jangan pula wanita safar(berpergian)kecuali bersama mahramnya.”[3]

9.Islam memuliakan wanita dengan mengharamkan zina dan semua jalan yang menghantar kepada perbuatan tersebut.Hal itu disyariatkan demi menjaga kehormatan mereka,dan dari hal yang dapat menodai kesucian mereka.
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.[al Isra`[17]:32]

10. Islam memuliakan wanita dengan mengancam keras atas sesiapa yang berbuat keji dan mencoreng kehormatan atau merosakkan nama baik mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik, yang lengah lagi beriman, mereka dilaknat di dunia dan diakhirat, dan bagi mereka azab yang besar. [an Nur[24]:23]
Semoga Allah menunjukkan kita semua ke jalan yang lurus dan diredhaiNya.
Disalin dari majalah al-Mawaddah edisi khusus tahun ke 1 Ramadhan 1428H/Oktober-November 2007/Abu Ayyub as-Salafi

Sunday, June 15, 2008

KaU sAhAbAtKu KaU tEmaN sEjaTI

15 JUN genaplah setahun pemergian arwah sahabat yg aku sayangi ke rahmatullah..semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan beroleh ketenangan di alam sana. HAFDIENAL satu nama yang menyatukan kami semua sebagai sahabat dunia dan akhirat, namun kini nama itu hanya tinggal HADIENAL...sedih dan redha menyelubungi diri ini tatkala mengenangkan memori kami ketika bersama selama 5 tahun di SMKDUAM.. ya Allah walaupun kami telah berada di alam yang berbeza satukanlah hatiku dengannya agar hati ini sentiasa mendokan kesejahteraan rohnya di sana...berikanlah ketenangan padanya dan ampunilah segala dosanya..ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun,,,, aMin Ya Rabbal Alamin....

Telah tiba saat watu kau tinggalkan kami,
kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan,
sedih rasanya hati ini bila mengenangkan,
kau sahabatku kau teman sejati,
tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti,
senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami,
memori indah kita bersama terus bersemadi,
kau sahabatku kau teman sejati,
moga aman dan berbahagia dikau di sana,
setangkai doa juga fatihah,
terus kukirimkan,
agar di sana kau bersama para solihin,
Allahumma ameen....

Wednesday, June 11, 2008

Buatmu yang tersayang......

Dia merupakan insan yang banyak berkorban untukku,
Mendidik, mentarbiah, menyayangiku sejak kecil,
tanpa rasa jemu dan putus asa,
rela mengorbankan tenaga, wang dan masa,
demi melihat anaknya merasa bahagia,
Dia seorang lelaki yang begitu tabah, berjiwa kental,
mengharungi segala cabaran hidup,
aku bersyukur kepadaMU ya Allah,
menganugerahkan seorang lelaki sepertinya,
terus memberiku semangat untuk aku meneruskan
usaha menuntut ilmu tanpa rasa jemu,
itulah insan yang bergelar ayah.....
terima kasih abah..mungkin saya tak mampu untuk
meluahkan rasa sayang ini di hadapanmu
tapi ketahuilah bahawa anak ini sentiasa mendoakan kesejahteraanmu
dunia dan akhirat...amin
di kesempatan ini anak ini mahu mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR ABAH yang ke-51...
Semoga hidupmu sentiasa diberkati Allah...

Sunday, June 8, 2008

iDEa KreatIF- hIjRAhku

Jam menunjukkan pukul 8.00 malam, namun kelibat suaminya tidak kelihatan. Pesanan sudah ditinggalkan meminta agar suaminya pulang awal untuk meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka. Kek ‘ Chocolate Walnut Brownie’ kegemaran suaminya telah tersedia di atas meja bersama hidangan lain. Tiba-tiba matanya tertumpu pada album-album lama yang tersusun kemas di atas rak kecil di satu sudut ruang tamu. Lalu tangannya mencapai salah satu daripadanya. Lembaran demi lembaran ditatapnya, mindanya kembali memutar nostalgia lama.

“Eira, cepat turun sayang, kita dah nak bertolak sekarang,” jerit Mama dari tingkat bawah. Syakira anak tunggal perempuan Dato’ Azman dan Datin Rosmah sentiasa dilimpahi kemewahan sejak kecil lagi. Namun, baginya kemewahan tidak dapat membeli belaian kasih sayang dari seorang Mama. Dirinya bagai musafir yang dahagakan kasih sayang daripada orang yang melahirkannya. Syakira bergegas turun ke bawah dengan hanya mengenakan seluar jeans dan T-shirt berwarna biru. Ringkas. Itulah cara penampilannya sebagai remaja di dunia metropolitan. Dia lebih selesa mengikut trend masa kini dari segi pemakaian dan cara kehidupan keluarganya juga jauh dari cara hidup islam sebenar. Setelah bersalaman dengan abangnya yang akan berlepas ke Australia untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan, hatinya sebak terasa keseorangan. Sebelum ini, hanya dia dan abangnya sahaja yang berada di rumah berkongsi cerita, bergurau senda namun sekarang rumahnya kembali sepi.

Jarinya ligat menekan setiap huruf di papan kekunci komputer manakala matanya tertumpu pada skrin monitor di depannya. Tinggal sedikit sahaja lagi tugasan yang perlu disiapkan. Jarum jam di dinding biliknya menunjukkan pukul 1.00 pagi. Matanya mula mengantuk. Namun Papanya masih belum pulang lagi. Begitulah rutin Papanya yang sentiasa sibuk dengan urusannya . Jarang sekali berada di rumah. Hatinya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Kerinduan hatinya terubat dengan kehadiran e-mail dari abangnya memberi kata-kata semangat kepadanya yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Papa dan Mama jarang sekali menemaninya mengulangkaji pelajaran. Mereka hanya menyumbang material saja. Hatinya sunyi. Setelah tamat kelas tuisyen, Syakira lebih suka menghabiskan masa bersama-sama rakannya di kompleks membeli-belah. Kalaupun dia pulang ke rumah Mama dan Papanya tidak ada, Mama sibuk dengan persatuannya manakala papa dengan urusan bisnesnya yang semakin maju . Mereka sekeluarga jarang bersua muka walaupun tinggal di bawah satu bumbung. Itupun hanya bertemu di meja makan pada waktu sarapan pagi. Amirahlah tempat dia mengadu segala masalah yang dihadapinya.Kadangkala Syakira diulit rasa cemburu tatkala melihat kebahagiaan keluagra Amirah yang mementingkan kasih sayang di antara ahli keluarganya ketika dia berkunjung ke rumahnya suatu ketika dulu. Walaupun mereka hidup dalam keadaan sederhana, namun sikap keprihatinan ayahnya terhadap anak-anaknya menjadikan mereka berasa cukup segalanya. “ Kenapalah Papa dan Mama tidak mengerti perasaanku”, soal hati kecilnya.


Tibalah hari peperiksaan besar dalam hidup Syakira dan rakan-rakannya yang lain.Syakira menanam keazaman untuk menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan kali ini. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Setelah tamat menjawab kertas yang terakhir, Syakira menarik nafas lega. Setelah tiga bulan menunggu, keputusan peperiksaan diumumkan. Syakira melonjak keriangan sebaik sahaja melihat keputusan cemerlangnya. Dia dihujani ucapan tahniah daripada guru-gurunya, rakan-rakan dan terakir sekali Papa dan Mamanya. Hasrat Papanya mahu menghantarnya ke luar negara diterima dengan hati yang terbuka. Memang itulah impiannya. Dalam tempoh lima bulan untuk membuat persediaan ke Luar Negara, Syakira dikejutkan dengan berita mengenai penyakit Mamanya. “ Mama kamu menghidapi penyakit kanser Payudara sejak dua tahun lalu, pihak kami telah berusaha membuang ketumbuhan itu, pada mulanya berjaya. Tapi pihak kami dapati penyakit ini sememangnya sukar untuk diubati.”, Bagai tercabut jantung dari tangkainya dengan penjelasan Doktor itu tadi.Mamanya sedang dalam keadaan tenat. Dia cuba menghubungi Papanya yang berada di luar negara atas urusan perniagaannya. Setiausaha Papanya memberitahunya ayahnya akan berlepas pada malam itu. Abangnya pula akan menaiki penerbangan pada malam itu juga.Keadaan Mamanya semakin kritikal. Dia dan abangnya setia menemani Mama pada saat getir itu. Namun, papanya belum lagi tiba. Tuhan lebih menyayangi Mama. Syakira dan abangnya tidak dapat menahan kesedihan lalu mendakap tubuh Mama mereka seeratnya.

Alasan yang Papa berikan tidak dapat mengubati kekecewaan di hati Syakira. “Penerbangan Papa terpaksa ditunda”, jelas Papanya cuba memujuk agar dia memahami. Namun, segalanya tidak dapat mengembalikan Mamanya. “Papa sengaja mencipta alasan”. bisik hatinya. Dua tahun berlalu, kehilangan Mama sentiasa menyelubungi jiwanya. “ Papalah yang bersalah”, bentak hatinya.Kini dia berada di salah sebuah Institusi Tempatan. Cadangan Papanya agar dia melanjutkan pelajaran ke luar negara ditolak mentah-mentah. Dia hanya mahu menyambung pelajarannya di tanah airnya sendiri. Papanya akur dengan keputusannya. Perubahan ketara dalam dirinya menimbulkan tanda tanya orang yang mengenalinya. Itu hanyalah semata-mata mahu memnunjukkan protes kepada Papanya. Tingkah lakunya yang kasar, pemakaian ala lelaki , keras kepala menjadi pilihan hidupnya , semua itu tidak dapat melambangkan peribadinya yang sebenar.Papanya tidak mampu berbuat apa-apa. Kekesalan timbul di hati lelaki itu.Mungkin pengabaian terhadap anaknya selama ini menjadikan anaknya bersikap begitu. Sebuah skuter yang diberi Papanya dipandu laju bersama rakannya yang lain. Di kampus itu mereka terkenal sebagai kumpulan anti lelaki. Disebabkan itu ramai lelaki takut untuk mendekati. Ramai siswa di kampusnya menaruh hati padanya, tapi hatinya tidak terbuka untuk insan bernama lelaki. Sudah berkali-kali dia ditegur oleh teman sebiliknya agar dia ubah cara penampilannya. Namun ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sehinggalah suatu hari, Syakira dan rakannya sedang minum di sebuah restoran. Tiba-tiba matanya tetumpu pada seorang gadis ayu bertudung. Mata mereka bertentangan. Lidahnya kelu tanpa kata-kata apabila gadis itu menuju ke arahnya. Amirah teman rapatnya semasa di bangku sekolah dulu. Salam dihulur dan Amirah hanya bertanya kabar dirinya lalu berlalu pergi. Syakira sedar mungkin temannya itu kecewa dengan perubahan dirinya. Namun, baginya Amirah tidak mengerti. Sebaik sahaja Syakira keluar dari restoran itu, dia terlanggar seorang lelaki kerana terlalu asyik bergurau senda. Lantas dia menunjukkan riak marah pada mukanya dan menuduh lelaki itu cuai. Lelaki itu meminta maaf dan berlalu pergi.

Pada suatu petang, terjadi satu pelanggaran antara sebuah kereta dan sebuah skuter di satu simpang menuju ke kampusnya. Syakira mengalami kecederaan pada kakinya. Dia tidak dapat mengawal skuternya dan terbabas ke bahu jalan. Badannya lemah dan pandangannya kabur. Apabila sedar, dia mendapati dirinya berada di hospital. Kelihatan Papanya berdiri di sisinya. Pandangannya dialihkan ke satu wajah yang pernah dilihatnya. Dia mengamati wajah itu. Ya. Lelaki yang pernah dimarahinya kelmarin. Dia berasa malu atas tindakannya dan memohon maaf. “Syukurlah Allah masih mahu awak bernafas di buminya ini”, kata lelaki itu. Kata-kata itu menusuk kalbu Syakira yang selama ini lupa akan kekuasaan Tuhan terhadap makhluk-Nya. Papanya amat terhutang budi dengan lelaki itu. Fakhrul Radzi itulah nama yang tersemat di hatinya kini. Keakraban mereka bermula. Namun, baginya layakkah dia bedampingan dengan lelaki seperti itu. Segala patah perkataan yang keluar dari mulutnya berbaur nasihat. Fakhrul Radzi sentiasa membimbingnya dan menajaknya berubah menjadi muslimah sejati. “ Syakira belum terlewat lagi untuk bertaubat”, katanya pada suatu petang. Dari situ timbul kesedaran di hati Syakira untuk menukar imej dirinya agar kelihatan seperti seorang wanita. “ SEBAIK PERHIASAN ADALAH WANITA SOLEHAH”. Itulah kata-kata yang tertulis pada muka depan buku yang dihadiahi Fakhrul Radzi beserta sepasang baju kurung dan sehelai tudung berwarna ungu. Syakira mula menjejaki temannya dan menyatakan hasratnya untuk berubah. Amirah sentiasa memberi sokongan kepada temannya itu. Satu kad jemputan ke satu ceramah sempena Maal Hijrah diterimanya dari Fakhrul Radzi. Kepetahan Fakhrul Radzi menyampaikan ilmu-ilmunya memukau pandangan Syakira. Segala apa yang disampaikan betul-betul menginsafkan Syakira. Dia sedar kini Allah telah membuka pintu hatinya untuk berubah dan terpulang pada dirinya untuk menerima atau terus hidup dalam kegelapan.. “ Syukur, Syakira telah kembali ke jalan yang sebenar”, kata Fakhrul Radzi kepadanya pada malam itu. Baginya perubahan yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Jika ketentuan hidup bersama lelaki itu dia pasrah.

Baju pengantin berwarna kuning keemasan sudah tersarung pada badannya. “Nampak anggun dan ayu anak Papa”, puji Dato’Azman. Bibirnya menguntum senyuman di hari yang bermakna bagi dirinya. Dia bersyukur ditemukan dengan seorang lelaki yang bernama Fakhrul Radzi. Setelah tamat pengajian, Fakhrul Radzi melamarnya. Hatinya berdebar-debar menanti bakal suaminya. Dengan sekali lafaz, Syakira dan Fakhrul Radzi sah bergelar suami isteri. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah yang menganugerakannya seorang insan bernama suami. Kehidupan berumahtangga dilaluinya dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan. Kini sudah enam tahun mereka membina mahligai bersama dan kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata yang comel.


“Ummi, Abi dah pulang”, suara anak kecil itu mematikan lamunannya. Syakira menyapu air jernih yang membasahi pipinya. Lantas segera ke arah suaminya yang berdiri di muka pintu dengan sejambak bunga ditangannya. Keanggunan Syakira menarik perhatian suaminya. Lalu dia mengucup tangan suaminya itu dan mengucapkan terima kasih. Kehidupannya juga diserikan dengan kehadiran Ain Hasanah yang menjadi lambang cinta suci antara mereka. Inilah kehidupan yang dicarinya selama ini. Dan sekarang telah ditemui. Cahaya kehidupan yang hakiki.

cerpen ni ditulis semasa menyambut Maal hijrah di nilam Puri, Kelantan...

sIAsAh: Tuduhan tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama….

Di sini saya ingin membawa beberapa persoalan yang dikemukan di mana ia akan menimbulkan keraguan dan kadangkala ianya berupa tuduhan sesetengah pihak iaitu tuduhan tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama.
Benarkah tuduhan ini???

Mari kita lihat jawapan yang diberikan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

Dr Yusuf al-Qaradhawi:

“Sebahagian orang yang dahulu menganggap bahawa agama tidak berkaitan dengan politik dan kemudian mengisytiharkan kenyataan dusta “tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama. Sekarang justeru merekalah orang-orang yang pertama mengingkari kenyataan tersebut dengan ucapan dan perbuatan mereka sendiri. Mereka sentiasa merujuk kepada agama untuk mengambil bahan-bahan yang boleh digunakan untuk urusan politik mereka dan menyerang musuh-musuh mereka di mana mereka turut meminta fatwa daripada ulamak yang lemah semangat agamanya dan kurang ilmunya bagi menentang orang-orang yang membangkang dengan politik mereka. Padahal politik tersebut adalah batil secara agama dan tidak sesuai untuk kehidupan.

Saya masih ingat lagi bagaimana ulama-ulama yang telah mengeluarkan fatwa terhadap kami semasa saya dan beberapa rakan berada dalam tahanan di Thur antara tahun 1948-1949 M. Dalam fatwa tersebut mereka memutuskan bahawa kami yang sedang berjuang agar diterapkan hukum al-Quran dan ajaran Islam, telah memerangi Allah dan RasulNya dan berusaha melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka juga memutuskan bahawa kami harus dihukum bunuh, disalib atau dikerat kedua-dua tangan dan kaki kami dan dimusnahkan dari bumi.

Saya juga masih ingat bagaimana majlis fatwa telah diminta untuk mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahwa berdamai dengan Israel merupakan satu perkara yang disokong oleh syariat. Mereka memerlukan fatwa sedemikian untuk menyokong keadaan politik mereka yang sangat genting. Padahal sebelum ini majlis fatwa telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan pendamaian dengan Israel dan menganggapnya sebagai pengkhianatan terhadap Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

Sampai ke hari ini , para penguasa masih terus mendatangi ulama dan meminta mereka untuk mengeluarkan fatwa-fatwa yang menyokong tujuan-tujuan politiknya. Di antaranya ialah menghalalkan faedah bank serta bon pelaburan. Ulamak yang cetek pemahamannya dan kurang ilmunya menyambut baik fatwa temapahan fatwa tersebut. Namun para ulamak yang kuat memegang prinsip dan tinggi ilmu pengetahuannya menolak permintaan tersebut. Merekalah yang disebut dalam firman Allah:

Maksudnya : merekalah orang-orang yang menyampaikan risalah Allah dan mereka tidak merasa takut kepada seorang pun kecuali Allah ( Al-Ahzab: 39)

Setakat ini dulu yang saya petik dari buku “Fiqh Kenegaraan” terjemahan oleh Arsil Ibrahim atau di dalam buku asal “ Fiqh Daulah” karangan Dr Yusuf al-Qaradhawi. Semoga diberi kesempatan untuk saya menruskan perbincangan yang termuat dalam buku ini. Insya Allah.

makanan rohani...2day

Ucaplah alhamdulillah syukur kita kepada Allah…selawat ke atas Nabi Muhammad Ya Rasulallah, selawat ke atas Nabi Ya Rasulallah…..syukur..syukur..syukur.. alunan lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Raihan ini jika diamati dan dihayati memberi kita satu kesedaran bahawa perlunya setiap hamba yang masih diberi peluang bernafas di bumiNya ini untuk mengucapkan syukur kepada Yang Maha Esa, sebagai Pencipta alam ini dan seisinya…

Pernahkah kita terfikir sebelum kita memejamkan mata untuk tidur di malam hari…adakah esok aku masih bernafas seperti malam ini?? Adakah aku diberi peluang oleh Allah untuk bernafas dan beramal untuk mendapat rahmat dariNya?? Atau mungkin keesokan harinya aku tidak mampu lagi untuk membuka mata ini melihat keindahan pagi dan aku sudah tidak bernafas lagi?? Dan hanya tinggal jasad yang kaku saja? Dan nyawaku telah dicabut oleh izrael yang aku tidak tahu bila masanya ia datang padaku dan merentap roh ini dari jasadku..oh sakitnya kurasakan ketika itu sedangkan izrael yang diperintah oleh Allah untuk mencabut nyawa Nabi s.a.w dengan cara yang paling lembut merasa sakit yang teramat sangat apatah lagi kita manusia biasa yang banyak melakukan dosa ini?…adakah kematian itu mungkin terjadi? Tiba-tiba diri ini menjadi takut …kenapa? Kenapa mesti diri ini takut kepada kematian sedangkan Allah telah berfirman dalam al-Quran “kullu nafsin zaa iqotul maut” setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Janji Allah itu pasti dan akan terjadi pada setiap yang bernyawa. Siapa yang bernyawa itu? Tentulah kita manusia yang telah ditiupkan roh sejak di dalam rahim ibu lagi….tiba-tiba diri ini teringat pada pesan ustazah dulu sebelum tidur sebaik-baiknya kita mengucap dua kalimah syahadah kerana mungkin kita akan menemui ajal kita ketika tidur…mulut ini segera melafazkan syahadah sebelum melelapkan mata..

Apabila kedengaran azan subuh berkumandang sehingga diri kita yang sedang tidur terjaga…sebaik membuka mata seharusnya kita bersyukur kepada Allah kerana Allah memberi peluang untuk kita hidup di bumiNya ini…bersyukur dengan nikmat nyawa yang diberikan kepada kita, sihat tubuh badan sehingga kita mampu untuk pergi kuliah, pergi kerja, pergi menjalankan apa-apa jua aktiviti yang kita mahu lakukan pada hari itu…

Allah juga telah berfirman: …sekiranya kalian menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya….( Ibrahim: 34)

Demikian besar nikmat yang Allah telah anugerahkan kepada kita. Dunia ini beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk kita khalifah di muka bumuNya ini tetapi adakah kita semua menyedarinya??

….Dia ( Allah) telah memberikan nikmat-nikmat Nya secara sempurna kepada kalian, baik zahir mahupun batin…( Luqman: 20)


Allah juga menyatakan dalam ayat lain : Pada diri kalian terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya? ( Adzariyat: 21)

Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa mengucap syukur kepada Allah dengan sujud kepadaNya dan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya kerana dengan kita mensyukuri nikmat Allah Allah akan menambah nikmat yang dikurniakan kepada kita walaupun kadangkala kita merasa diri kita banyak kekurangnnya tapi sedarlah Allah itu Maha Adil setiap hamba yang diciptakan itu ada kelebihan tersendiri. Sebenarnya bila kita bercakap mengenai syukur ini ianya mempunyai aspek yang lebih luas lagi..dan insyaAllah di lain ruangan kita akan menyambung lagi mengenai rasa syukur ini…

Setakat ini saja makanan rohani dari penulis untuk kita sama-sama renungkan….

salam....

Perkenalan pertama dengannya tiba-tiba menggerakkan hati ini untuk bersama-sama rakan-rakan seperjuangan di luar sana bagi menjadikan blog sebagai medium untuk diri ini menyampaikan sesuatu yang mungkin dapat memberi manfaat kepada dhuyuf ( tetamu) yang menziarahi blog ini. insyaAllah.