Thursday, June 19, 2008

Persolan kerjasama antara Islam dan bukan Islam

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa Islam muncul dan berkembang dalam masyarakat pelbagai agama, sama ada pada zaman Makkah, mahupun selepas Hijrah, iaitu zaman Madinah.

Allah SWT memilih dahulu bahawa Islam muncul dan berkembang dan subur dimana-mana pelosok dunia, termasuk di dalam negara perbagai kaum dan agama.

Hal sedemikian, memberi kefahaman yang jelas, bahawa kerjasama dan saling bantu-membantu untuk mencapai kehidupan harmoni dalam soal kehidupan disesebuah negara, perlu diberi perhatian dan dihormati.

Harus dicari asas-asas untuk bekerjasama dan saling bantu-membantu.

Asas utama pada kefahaman ini berdasarkan kepada ayat Allah, menerusi firman-Nya (mahfumnya): “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al Maidah:2)

Firman Allah (mahfumnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah:8)

Ayat-ayat tersebut memberi ruang seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama dan bertolong-tolongan antara umat Islam sesama mereka khususnya dan juga yang bukan Islam, dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, serta ulama-ulama salaf.

Bertolong-tolongan dan bekerjasama dalam bidang politik untuk tujuan memerintah atau mendapat kuasa, antara golongan Islam dan bukan Islam, disebut dalam Islam sebagai tahaluf siasi.

Tahaluf adalah istilah politik Islam bermaksud berpakat atau bermuafakat untuk mencapai dan menjayakan kepentingan bersama dalam membina negara atau mendapatkan kuasa.

Istilah tahaluf atau hilf, wujud dalam Islam dan dalam beberapa Hadis.

Sebelum Islam lahir di Makkah, masyarakat jahiliyah telah pun membuat pakatan dan kerjasama diantara mereka yang dikenali sebagai Hilful Fudhul.

Nabi Muhammad s.a.w, ketika zaman kerasulannya menyaksikan permuafakatan tersebut.

Setelah Islam lahir dan berkembang, Rasulullah s.a.w mengingati semula permuafakatan itu dan menghargai dalam suatu hadis (mahfumnya): “Talhah bin Abdullah bin ‘Auf berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Saya telah menyaksikan berlakunya suatu kerjasama dalam bentuk pemuafakatan di kediaman Abdullah bin Jad’aan. Permuafakatan terbaik bagiku dan ia lebih bernilai daripada harta benda dunia. Sekiranya saya diminta berbuat demikian dalam era Islam ini, pasti saya menyetujuinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Ishak)

Dalam sejarah Hijaratul Rasul s.a.w, baginda telah meminta pertolongan atau bantuan dari seorang yang tidak Islam yang bernama Abdullah bin Uraiqit, sebagai pemandu dan penunjuk jalan kepadanya.

Mengapa Rasulullah s.a.w memilih orang kafir untuk membantu? Apakah tidak ada orang Islam atau malaikat atau wahyu yang memandunya?

Walaupun semua itu boleh, tetapi peristiwa ini mengandungi mesej yang amat jelas, iaitu dibolehkan berkerjasama, terutamanya jelas keperluan ini wujud.

Maka hal kerjasama seperti itu dibolehkan.

Setiba di Madinah, Rasulullah s.a.w menyedari, malah diperintah Allah SWT untuk mengadakan permuafakatan dengan yang bukan Islam dari golongan kuffar Madinah, sehingga termeterai suatu perjanjian (piagam) yang dikenali sebagai Saheefah Madinah yang terkenal sehingga ke hari ini.

Dalam Saheefah Madinah tersebut, diperuntukan jelas antara lainya, orang Yahudi menangung perbelanjaan hidup sendiri, demikian juga orang-orang Islam. Diantara mereka terdapat tanggungjawab untuk saling bantu-membantu menghadapi musuh bersama.

Mereka hendaklah saling nasihat menasihati dalam berbuat baik terhadap satu sama lain, tanpa melakukan kesalahan.

Disebabkan dalam Saheefah bahawa: “Tidak salah mana-mana orang yang tertakluk dalam piagam ini, bahawa mereka wajib tolong-menolong, bantu-membantu, khususnya bagi orang-orang yang teraniaya.”

Selain itu Rasulullah s.a.w pernah membuat perjanjian tolong-menolong dengan Bani Khuza’ah dan lain-lain.

Dengan alasan-alasan yang dipaparkan ini, sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah, jelas menunjukkan keharusan bermuafakat dengan orang-orang yang bukan Islam.

Namun demikian, ia bukan merupakan keharusan total atau dibolehkan secara mutlak. Keharusan ini, mistilah diikat dengan beberapa syarat, sesuai dengan situasi muafakat tersebut.

Apa yang penting, ia mistilah memastikan Islam berada dalam keadaan selamat, selesa dan terus berada dalam keadaan yang sejajar denga roh , firman Allah dalam al-Quran (mahfumnya), “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).. ” (Surah Ali 'Imraan:110)

Wallahua’lam.

No comments: