Sunday, June 8, 2008

iDEa KreatIF- hIjRAhku

Jam menunjukkan pukul 8.00 malam, namun kelibat suaminya tidak kelihatan. Pesanan sudah ditinggalkan meminta agar suaminya pulang awal untuk meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka. Kek ‘ Chocolate Walnut Brownie’ kegemaran suaminya telah tersedia di atas meja bersama hidangan lain. Tiba-tiba matanya tertumpu pada album-album lama yang tersusun kemas di atas rak kecil di satu sudut ruang tamu. Lalu tangannya mencapai salah satu daripadanya. Lembaran demi lembaran ditatapnya, mindanya kembali memutar nostalgia lama.

“Eira, cepat turun sayang, kita dah nak bertolak sekarang,” jerit Mama dari tingkat bawah. Syakira anak tunggal perempuan Dato’ Azman dan Datin Rosmah sentiasa dilimpahi kemewahan sejak kecil lagi. Namun, baginya kemewahan tidak dapat membeli belaian kasih sayang dari seorang Mama. Dirinya bagai musafir yang dahagakan kasih sayang daripada orang yang melahirkannya. Syakira bergegas turun ke bawah dengan hanya mengenakan seluar jeans dan T-shirt berwarna biru. Ringkas. Itulah cara penampilannya sebagai remaja di dunia metropolitan. Dia lebih selesa mengikut trend masa kini dari segi pemakaian dan cara kehidupan keluarganya juga jauh dari cara hidup islam sebenar. Setelah bersalaman dengan abangnya yang akan berlepas ke Australia untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan, hatinya sebak terasa keseorangan. Sebelum ini, hanya dia dan abangnya sahaja yang berada di rumah berkongsi cerita, bergurau senda namun sekarang rumahnya kembali sepi.

Jarinya ligat menekan setiap huruf di papan kekunci komputer manakala matanya tertumpu pada skrin monitor di depannya. Tinggal sedikit sahaja lagi tugasan yang perlu disiapkan. Jarum jam di dinding biliknya menunjukkan pukul 1.00 pagi. Matanya mula mengantuk. Namun Papanya masih belum pulang lagi. Begitulah rutin Papanya yang sentiasa sibuk dengan urusannya . Jarang sekali berada di rumah. Hatinya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Kerinduan hatinya terubat dengan kehadiran e-mail dari abangnya memberi kata-kata semangat kepadanya yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Papa dan Mama jarang sekali menemaninya mengulangkaji pelajaran. Mereka hanya menyumbang material saja. Hatinya sunyi. Setelah tamat kelas tuisyen, Syakira lebih suka menghabiskan masa bersama-sama rakannya di kompleks membeli-belah. Kalaupun dia pulang ke rumah Mama dan Papanya tidak ada, Mama sibuk dengan persatuannya manakala papa dengan urusan bisnesnya yang semakin maju . Mereka sekeluarga jarang bersua muka walaupun tinggal di bawah satu bumbung. Itupun hanya bertemu di meja makan pada waktu sarapan pagi. Amirahlah tempat dia mengadu segala masalah yang dihadapinya.Kadangkala Syakira diulit rasa cemburu tatkala melihat kebahagiaan keluagra Amirah yang mementingkan kasih sayang di antara ahli keluarganya ketika dia berkunjung ke rumahnya suatu ketika dulu. Walaupun mereka hidup dalam keadaan sederhana, namun sikap keprihatinan ayahnya terhadap anak-anaknya menjadikan mereka berasa cukup segalanya. “ Kenapalah Papa dan Mama tidak mengerti perasaanku”, soal hati kecilnya.


Tibalah hari peperiksaan besar dalam hidup Syakira dan rakan-rakannya yang lain.Syakira menanam keazaman untuk menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan kali ini. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Setelah tamat menjawab kertas yang terakhir, Syakira menarik nafas lega. Setelah tiga bulan menunggu, keputusan peperiksaan diumumkan. Syakira melonjak keriangan sebaik sahaja melihat keputusan cemerlangnya. Dia dihujani ucapan tahniah daripada guru-gurunya, rakan-rakan dan terakir sekali Papa dan Mamanya. Hasrat Papanya mahu menghantarnya ke luar negara diterima dengan hati yang terbuka. Memang itulah impiannya. Dalam tempoh lima bulan untuk membuat persediaan ke Luar Negara, Syakira dikejutkan dengan berita mengenai penyakit Mamanya. “ Mama kamu menghidapi penyakit kanser Payudara sejak dua tahun lalu, pihak kami telah berusaha membuang ketumbuhan itu, pada mulanya berjaya. Tapi pihak kami dapati penyakit ini sememangnya sukar untuk diubati.”, Bagai tercabut jantung dari tangkainya dengan penjelasan Doktor itu tadi.Mamanya sedang dalam keadaan tenat. Dia cuba menghubungi Papanya yang berada di luar negara atas urusan perniagaannya. Setiausaha Papanya memberitahunya ayahnya akan berlepas pada malam itu. Abangnya pula akan menaiki penerbangan pada malam itu juga.Keadaan Mamanya semakin kritikal. Dia dan abangnya setia menemani Mama pada saat getir itu. Namun, papanya belum lagi tiba. Tuhan lebih menyayangi Mama. Syakira dan abangnya tidak dapat menahan kesedihan lalu mendakap tubuh Mama mereka seeratnya.

Alasan yang Papa berikan tidak dapat mengubati kekecewaan di hati Syakira. “Penerbangan Papa terpaksa ditunda”, jelas Papanya cuba memujuk agar dia memahami. Namun, segalanya tidak dapat mengembalikan Mamanya. “Papa sengaja mencipta alasan”. bisik hatinya. Dua tahun berlalu, kehilangan Mama sentiasa menyelubungi jiwanya. “ Papalah yang bersalah”, bentak hatinya.Kini dia berada di salah sebuah Institusi Tempatan. Cadangan Papanya agar dia melanjutkan pelajaran ke luar negara ditolak mentah-mentah. Dia hanya mahu menyambung pelajarannya di tanah airnya sendiri. Papanya akur dengan keputusannya. Perubahan ketara dalam dirinya menimbulkan tanda tanya orang yang mengenalinya. Itu hanyalah semata-mata mahu memnunjukkan protes kepada Papanya. Tingkah lakunya yang kasar, pemakaian ala lelaki , keras kepala menjadi pilihan hidupnya , semua itu tidak dapat melambangkan peribadinya yang sebenar.Papanya tidak mampu berbuat apa-apa. Kekesalan timbul di hati lelaki itu.Mungkin pengabaian terhadap anaknya selama ini menjadikan anaknya bersikap begitu. Sebuah skuter yang diberi Papanya dipandu laju bersama rakannya yang lain. Di kampus itu mereka terkenal sebagai kumpulan anti lelaki. Disebabkan itu ramai lelaki takut untuk mendekati. Ramai siswa di kampusnya menaruh hati padanya, tapi hatinya tidak terbuka untuk insan bernama lelaki. Sudah berkali-kali dia ditegur oleh teman sebiliknya agar dia ubah cara penampilannya. Namun ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sehinggalah suatu hari, Syakira dan rakannya sedang minum di sebuah restoran. Tiba-tiba matanya tetumpu pada seorang gadis ayu bertudung. Mata mereka bertentangan. Lidahnya kelu tanpa kata-kata apabila gadis itu menuju ke arahnya. Amirah teman rapatnya semasa di bangku sekolah dulu. Salam dihulur dan Amirah hanya bertanya kabar dirinya lalu berlalu pergi. Syakira sedar mungkin temannya itu kecewa dengan perubahan dirinya. Namun, baginya Amirah tidak mengerti. Sebaik sahaja Syakira keluar dari restoran itu, dia terlanggar seorang lelaki kerana terlalu asyik bergurau senda. Lantas dia menunjukkan riak marah pada mukanya dan menuduh lelaki itu cuai. Lelaki itu meminta maaf dan berlalu pergi.

Pada suatu petang, terjadi satu pelanggaran antara sebuah kereta dan sebuah skuter di satu simpang menuju ke kampusnya. Syakira mengalami kecederaan pada kakinya. Dia tidak dapat mengawal skuternya dan terbabas ke bahu jalan. Badannya lemah dan pandangannya kabur. Apabila sedar, dia mendapati dirinya berada di hospital. Kelihatan Papanya berdiri di sisinya. Pandangannya dialihkan ke satu wajah yang pernah dilihatnya. Dia mengamati wajah itu. Ya. Lelaki yang pernah dimarahinya kelmarin. Dia berasa malu atas tindakannya dan memohon maaf. “Syukurlah Allah masih mahu awak bernafas di buminya ini”, kata lelaki itu. Kata-kata itu menusuk kalbu Syakira yang selama ini lupa akan kekuasaan Tuhan terhadap makhluk-Nya. Papanya amat terhutang budi dengan lelaki itu. Fakhrul Radzi itulah nama yang tersemat di hatinya kini. Keakraban mereka bermula. Namun, baginya layakkah dia bedampingan dengan lelaki seperti itu. Segala patah perkataan yang keluar dari mulutnya berbaur nasihat. Fakhrul Radzi sentiasa membimbingnya dan menajaknya berubah menjadi muslimah sejati. “ Syakira belum terlewat lagi untuk bertaubat”, katanya pada suatu petang. Dari situ timbul kesedaran di hati Syakira untuk menukar imej dirinya agar kelihatan seperti seorang wanita. “ SEBAIK PERHIASAN ADALAH WANITA SOLEHAH”. Itulah kata-kata yang tertulis pada muka depan buku yang dihadiahi Fakhrul Radzi beserta sepasang baju kurung dan sehelai tudung berwarna ungu. Syakira mula menjejaki temannya dan menyatakan hasratnya untuk berubah. Amirah sentiasa memberi sokongan kepada temannya itu. Satu kad jemputan ke satu ceramah sempena Maal Hijrah diterimanya dari Fakhrul Radzi. Kepetahan Fakhrul Radzi menyampaikan ilmu-ilmunya memukau pandangan Syakira. Segala apa yang disampaikan betul-betul menginsafkan Syakira. Dia sedar kini Allah telah membuka pintu hatinya untuk berubah dan terpulang pada dirinya untuk menerima atau terus hidup dalam kegelapan.. “ Syukur, Syakira telah kembali ke jalan yang sebenar”, kata Fakhrul Radzi kepadanya pada malam itu. Baginya perubahan yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Jika ketentuan hidup bersama lelaki itu dia pasrah.

Baju pengantin berwarna kuning keemasan sudah tersarung pada badannya. “Nampak anggun dan ayu anak Papa”, puji Dato’Azman. Bibirnya menguntum senyuman di hari yang bermakna bagi dirinya. Dia bersyukur ditemukan dengan seorang lelaki yang bernama Fakhrul Radzi. Setelah tamat pengajian, Fakhrul Radzi melamarnya. Hatinya berdebar-debar menanti bakal suaminya. Dengan sekali lafaz, Syakira dan Fakhrul Radzi sah bergelar suami isteri. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah yang menganugerakannya seorang insan bernama suami. Kehidupan berumahtangga dilaluinya dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan. Kini sudah enam tahun mereka membina mahligai bersama dan kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata yang comel.


“Ummi, Abi dah pulang”, suara anak kecil itu mematikan lamunannya. Syakira menyapu air jernih yang membasahi pipinya. Lantas segera ke arah suaminya yang berdiri di muka pintu dengan sejambak bunga ditangannya. Keanggunan Syakira menarik perhatian suaminya. Lalu dia mengucup tangan suaminya itu dan mengucapkan terima kasih. Kehidupannya juga diserikan dengan kehadiran Ain Hasanah yang menjadi lambang cinta suci antara mereka. Inilah kehidupan yang dicarinya selama ini. Dan sekarang telah ditemui. Cahaya kehidupan yang hakiki.

cerpen ni ditulis semasa menyambut Maal hijrah di nilam Puri, Kelantan...

No comments: